Baddrol Bakhtiar (Kiri) mengasak pemain JDT, Leandro Velazquez pada aksi Final Piala Malaysia. Foto Bernama
Baddrol Bakhtiar (Kiri) mengasak pemain JDT, Leandro Velazquez pada aksi Final Piala Malaysia. Foto Bernama
BERNAMA

KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar tetap positif dan optimis skuad Lang Merah akan bangkit semula musim hadapan, selepas menamatkan saingan musim ini dengan kekalahan 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada final Piala Malaysia 2019, semalam.

Di bawah bimbingan ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak, Baddrol percaya pembaharuan yang disuntik jurulatih kelahiran Singapura berusia 42 tahun itu, akan menjadikan Kedah sebagai salah satu pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Aidil Sharin berjaya membawa Kedah menjuarai Piala FA 2019 dan menamatkan saingan Liga Super di tempat keempat dalam tempoh kurang setahun, sejak dilantik sebagai pengendali pasukan pada Oktober 2018.

“Sebagai pemain profesional, kita (pemain) kena fokus lagi untuk ke depan dan terus melihat dengan positif serta berusaha lebih keras.

“Tahun depan masih ada lagi... Insya-Allah, Kedah akan jadi pasukan yang terbaik sebab kami baru 10 bulan membentuk pasukan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Kedah mara ke final Piala Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun, musim ini mempamerkan semangat juang tinggi dalam perjalanan ke pentas akhir, termasuk kejayaan menyingkirkan Pahang menerusi keputusan agregat 8-8 di separuh akhir.

Bagaimanapun, ketiadaan dua tonggak yang digantung perlawanan selain penyerang Fernando Rodriguez yang mengalami kecederaan, memberi impak kepada mutu persembahan pasukan sekali gus menyaksikan JDT mendominasi 90 minit perlawanan.

“Memang kami rasai ketiadaan Renan (Renan Alves), Mohd Rizal (Mohd Rizal Mohd Ghazali) dan Fernando di saat akhir, tetapi itu lah bola sepak.

Bukan rezeki kami dan kami masih positif insya-Allah mungkin kami akan sekali lagi ke Bukit Jalil (musim depan),” jelas Baddrol.

Kekalahan Kedah menyaksikan pasukan utara tanah air itu mencatat kekalahan kedua kepada JDT di pentas final Piala Malaysia selepas tewas 0-2 pada edisi 2017, di Stadium Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 12:37 PM