EWART (jersi kuning) juarai peringkat kedua Tour de Singkarak di Indonesia. - FOTO TSC
Azlan Muhammad Zain


PELUMBA Team Sapura Cycling (TSC), Jesse Ewart mempamerkan persembahan meyakinkan untuk mempertahankan jersi kuning Tour de Singkarak 2019 apabila menjuarai peringkat kedua hari ini.

Selepas menjuarai peringkat pertama semalam, pelumba dari Australia itu turut memenangi peringkat kedua bermula dari Pasaman ke Bukittingi sejauh 112.2 kilometer.

Dia muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan masa 2.51:13s diikuti dua pelumba Indonesia yang beraksi bersama Pgn Road Cycling Team, Ahmad Yoga Ilham Firdaus dan Jamalidin Novardianto masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.


BARISAN pelumba TSC bergambar sebelum bermula peringkat kedua Tour de Singkarak. - FOTO TSC

Kemenangan peringkat kedua mengukuhkan penguasaan dalam perebutan jersi kuning apabila kini mengumpul 5.25:53s dengan pencabar terdekat adalah rakan sepasukan, Cristian Raileanu yang ketinggalan 1:09s manakala pelumba Thailand Continental Team, Thanakhan Chaiyasombat ketinggalan 3:39s.

"Kami mengharapkan dia mampu mempertahankan jersi kuning diraihnya pada edisi tahun lalu. Ia diharap menjadi jersi kuning ketiga untuk pasukan sebelum berakhir tahun ini selepas Le Tour de Langkawi (Benjamin Dyball) dan Tour de Iskandar (Mario Vogt)," jelas Principal TSC, Mohd Sayuti Zahit.

Berbaki tujuh peringkat lagi, Ewart turut mengekalkan jersi kategori pecut dengan mengumpul 36 mata diikuti Raileanu (21 mata) dan Loic Desriac dari Nex Cycling Team dengan 18 mata.TSC turut mendahului pasukan terbaik dari 18 pasukan bertanding dengan mengumpul 16.28:48s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 6:31 PM