ATLET muay thai bergambar selepas tamat sesi latihan di MSN.
Nor Hairulnizam Wahid


SKUAD muay thai negara kini memperkemaskan persiapan fasa akhir mereka menjelang Sukan SEA Filipina ketika dua ayam tambatan mereka, Mohamad Rifdean Masdor dan Nur Amisha Azrilrizal kini memberi tumpuan terhadap Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Menurut Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi ketika ini pasukan terbabit menjalani latihan fasa akhir di Majlis Sukan Negara (MSN) selepas mengharungi semua pertandingan sebagai persiapan ke Sukan SEA.

“Mereka baru saja menamatkan latihan selama sebulan di bawah kendalian jurulatih Russia Oleg Terekhov untuk memperbaiki skil boxing dan kini menyambung latihan bersama jurulatih Thailand, Ajarn Chuhart.

“Mereka kini dalam proses membentuk berat badan ideal untuk pertandingan, cuma risau sedikit dengan atlet kategori 54kg, Riedzwan Norsyahmie yang mengalami koyak ligamen di belakang badan tetapi berada di bawah pemantauan ISN (Institut Sukan Negara) untuk pemulihan.”

Jelas beliau lagi, pasukan akan mula menjalani latihan sparring bersama pasukan pelapis di MSN Keramat mulai minggu ini. Mengenai Rifdean dan Nur Amisha, masing-masing juara pada Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia di Antalya, Turki bulan lalu, Shahnaz menjelaskan kedua-duanya menghadiri latihan di MSN beberapa hari selain mengambil suntikan dan perubatan yang diperlukan sebelum berlepas ke Filipina.

Rifdean bakal menyertai kategori 45kg manakala Nur Amisha dalam kategori 54kg. “Kedua-dua mereka meneruskan latihan bersama jurulatih remaja PMM, Benard Radin di Perak dan memberi tumpuan terhadap SPM sebelum ke Sukan SEA,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 9:44 PM