Pemain Tottenham Hotspur, Son Heung-min (kiri) dilayangkan kad merah sementara Dele Alli (tengah) merayu kepada pengadil perlawanan. FOTO Reuters
AFP

TANDUKAN Cenk Tosun minit akhir perlawanan memastikan Everton terikat 1-1 berdepan Tottenham awal pagi ini, dalam perlawanan menyaksikan kecederaan kaki serius dialami pemain tengah Everton, Andre Gomes.

Pemain Spurs, Son Heung-min dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran ke atas pemain antarabangsa Portugal, namun kecederaan itu dialami ketika Gomes bertembung dengan Serge Aurier.

“Ia adalah detik buruk bagi kami dalam kumpulan dan sebagai satu pasukan. Ia lebih daripada perlawanan bola sepak, ini adalah perkara penting ketika ini,” kata pengurus Everton, Marco Silva.

Tottenham mendahului 1-0 menerusi jaringan Dele Alli hanya selepas satu jam beraksi.

Kecederaan dialami Gomes memberi tamparan hebat kepada karier pemain itu dengan Son sangat kecewa dengan tindakannya itu sebelum dilayangkan kad merah.

Cenk Tosun (tengah) melakukan tandukan untuk menyamakan kedudukan 1-1 ketika Everton menentang Tottenham dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park, awal pagi ini. FOTO EPA

“Dia (Son) amat kecewa dan menangis,” kata Alli.

“Ia bukan kesilapannya. Son adalah antara orang baik yang anda pernah jumpa. Dia tidak dapat mendongakkan muka, dia amat kecewa.”

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino berkata pasukannya turut bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Gomes.

“Kami berasa sangat kesal,” katanya. “Ia situasi sangat sukar, sangat kurang bernasib baik bagaimana dia terjatuh dalam aksi itu.

“Kami berharap dia akan segera pulih dan tidak kecewa dengan situasi yang berlaku itu.”

Bagaimanapun, Pochettino percayai kad merah diberikan kepada Son terlalu kejam, sepatutnya pengadil Martin Atkinson memberi amaran kad kuning ketika melihat bagaimana Gomes mengalami kecederaan.

“Saya tidak boleh setuju dengan kad merah kepada Sonny,” tambah Pochettino.

“VAR boleh membantu pengadil, saya tidak tahu apa yang berlaku dan apa yang terjadi kepada alat ini. Selain membantu pengadil ia mencipta lebih banyak kekeliruan.”

Satu mata tidak banyak membantu aksi permulaan buruk musim ini buat kedua-dua pasukan dengan Everton masih bergelut hanya satu tangga mengatasi zon penyingkiran, sementara Spurs kekal di kedudukan 11 terbawah dengan 13 mata daripada 11 perlawanan.

Tottenham mengalahkan the Toffees untuk enam daripada kunjungan terakhir mereka di Goodison Park Disember lalu, namun aksi menurun sejak beberapa tahun ini menyaksikan kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan jaringan pada babak pertama perlawanan.

Spurs terkesan tanpa kehadiran Harry Kane kerana mengalami kecederaan, tetapi diberikan jaringan pembukaan apabila Alex Iwobi terlepas bola kepada Son dan pemain Korea Selatan itu menghantar bola kepada Alli untuk melepasi jangkauan rakan sepasukan skuad kebangsaan England Jordan Pickford.

Namun Tosun berada di tempat yang tepat untuk menjaringkan gol penyamaan buat tuan rumah dan menafikan kemenangan pertama Tottenham di gelanggang lawan buat pertama kali dalam Liga Perdana sejak Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 8:02 AM