FARAH Ann fokus emas di Filipina. - FOTO Owee Ah Chun
FARAH Ann fokus emas di Filipina. - FOTO Owee Ah Chun
Iskandar Shah Mohamed


BIARPUN teruja layak ke pentas Olimpik pertamanya, Farah Ann Abdul Hadi mahu memberi fokus sepenuhnya untuk meraih pingat buat kem gimnastik negara pada Sukan SEA Filipina. 

Ratu gimnastik kebangsaan itu mengakui belum memikirkan perancangan dan persiapan lain bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

"Olimpik sememangnya acara terbesar yang bakal disertai namun saya belum membuat sebarang keputusan lanjut termasuk mengenai latihan di luar negara.  Kini, saya terlebih dulu mahu fokus kepada Sukan SEA untuk kekal meraih emas dengan mempamerkan aksi terbaik dalam acara individu nanti," katanya kepada Arena Metro. 

Ditanya mengenai cadangan pelan persiapan program untuknya di Amerika Syarikat, Farah Ann berkata, perkara itu turut belum dimuktamadkan setakat ini.  

"Ia mungkin akan dibincangkan bersama kem kejurulatihan dan delegasi teknikal selepas selesai temasya Filipina nanti," katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut terharu menerima pengiktirafan sebagai ikon Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) minggu lalu dan berharap dapat menyuntik semangat atlet baharu untuk mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. 

Bulan lalu, Farah Ann mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan kemarau 16 tahun skuad gimnastik negara ke pentas Olimpik.   Atlet berusia 25 tahun itu layak ke temasya terbesar dunia berkenaan selepas mencatat keputusan memberangsangkan dalam acara all-around individu di Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.  

Kali terakhir gimnas negara beraksi di Olimpik menerusi gimnas lelaki, Ng Shu Wai di Athens 2004 dan gimnas wanita, Au Li Yen di Sydney 2000.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 6:27 PM
    Digital NSTP Subscribe