AKSI Nor Azam (kiri) mengasak pemain UAE, Ali Hassan Alblooshi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
AKSI Nor Azam (kiri) mengasak pemain UAE, Ali Hassan Alblooshi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Syazwan Msar


PEMAIN tengah Harimau Malaya, Nor Azam Azih tidak mahu dilabel sebagai individu yang mampu mencipta keajaiban menjelang aksi menentang Indonesia dan Thailand pada pusingan kedua Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 minggu depan.

Pemain tengah Pahang yang baharu pulih daripada kecederaan buku lali itu sebaliknya meminta penyokong supaya mempercayai kemampuan seluruh pasukan untuk membenam dua pasukan terbabit.

Azam berkata, dia bersedia untuk menghadapi perlawanan keempat Kumpulan G dengan mengharapkan gandingan pemain baharu dan lama dapat mempamerkan persembahan terbaik nanti.

“Ramai mengharapkan kehadiran saya dapat memberi impak positif pada pasukan dan ia sebenarnya memberi tekanan kerana ada juga pemain lain turut berkebolehan.

“Walaupun kami tewas menentang Vietnam sebelum ini namun secara keseluruhan pemain tidaklah bermain teruk cuma ia mungkin disebabkan beraksi di tempat lawan selain dihadiri ramai penyokong mereka menyebabkan pemain negara sedikit gugup.

“Jadi, saya mengharapkan dua perlawanan akan datang kami dapat bermain lebih baik seterusnya memastikan Harimau Malaya mengumpul membawa pulang tiga mata penting,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Selain itu, Azam berkata, kehadiran pemain baharu seperti Afiq Fazail dan kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar yang berpengalaman di pentas antarabangsa mampu mengukuhkan lagi bahagian tengah pasukan.

Skuad Harimau Malaya bakal menghadapi perlawanan antarabangsa bertemu Tajikistan pada 9 November dan seterusnya dua aksi Kumpulan G bagi Pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand (14 November) dan Indonesia pada (19 November) dengan semua aksi terbabit berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 9:55 PM