ATALANTA (jersi biru hitam) gagal bersaing di Manchester bulan lalu. — FOTO uefa.com
AFP

GIAN Piero Gasperini melaungkan amaran psikologi menjadi kunci ketika kelab pendatang baharu Itali, Atalanta cuba mengelak satu lagi kekalahan besar di tangan pencabar Liga Juara-Juara, Manchester City di Milan awal pagi Khamis ini.

Juara Liga Perdana Inggeris itu boleh memastikan tempat mereka ke pusingan kalah mati dengan kemenangan ke atas Atalanta, yang kalah semua tiga aksi Kumpulan C dalam penampilan sulung mereka pada pertandingan elit Eropah itu.

City mengungguli kumpulan mereka dengan sembilan mata maksimum dan menjaringkan 10 gol, manakala kelab dari Bergamo itu di tangga tercorot sesudah dibolosi 11 gol dan hanya menyumbat dua jaringan.

Lima daripadanya pada aksi sebelum ini, apabila hatrik Raheem Sterling dalam tempoh 11 minit membantu City menang besar 5-1 di Manchester.

GASPERINI (tengah) hadapi tugas getir di Milan. — FOTO EPA

“Aspek psikologi menjadi asas utama,” kata Gasperini.

“Ia perlawanan yang amat sukar, tapi kami akan bersedia sebaik mungkin.”

Atalanta bangkit dalam Serie A beberapa hari kemudian apabila membenam kelab bawahan Udinese 7-1, namun mereka amat terasa ketiadaan bintang serangan Colombia, Duvan Zapata, yang diketepikan kerana kecederaan paha ketika tugasan antarabangsa.

Tanpanya Atalanta merudum dari tangga ketiga ke kedudukan kelima dalam Serie A, lapan mata di belakang pendahulu Juventus selepas kalah 0-2 kepada Cagliari hujung minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 10:32 AM