BAYERN (jersi putih) tewas 1-5 di tangan Eintracht Frankfurt, Sabtu lalu. — FOTO AFP
AFP

PEMAIN bintang Bayern Munich diminta supaya bertindak cemerlang di bawah jurulatih sementara Hansi Flick menjelang pertembungan Liga Juara-Juara menentang Olympiakos susulan pemecatan Niko Kovac.

Bekas pertahanan Bayern dan Jerman Barat, Andreas Brehme berkata, skuad Bayern “mengecewakan Kovac” dengan beberapa persembahan hambar akhir-akhir ini yang menjurus kepada pemecatan jurulatih itu, manakala pengarah sukan kelab itu Hasan Salihamidzic menggesa lebih usaha daripada pemainnya.

“Saya kini menjangkakan perkembangan positif daripada pemain kami dan motivasi untuk memenuhi sasaran kami musim ini,” katanya.

Pendahulu Kumpulan B, Bayern melayan kelab tercorot Olympiakos di Arena Allianz dengan memburu kemenangan keempat berturut-turut Liga Juara-Juara selepas menundukkan kelab Greece itu 3-2 di Athens dua minggu lalu.

Bayern sudah hampir pasti ke peringkat kalah mati ketika mereka kini unggul lima mata di depan pasukan tangga kedua Tottenham, yang ditemui mereka bulan depan selepas menang besar 7-2 di utara London bulan lalu.

Bagaimanapun, semuanya tidak menjadi di belakang tabir di kelab gergasi Bavaria itu, yang memecat Kovac Ahad lalu selepas menang hanya tiga daripada enam perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Kekalahan memalukan 1-5 di Eintracht Frankfurt Sabtu lalu – kekalahan liga terbesar juara bertahan dalam tempoh sedekad – aksi terakhir buat Kovac, yang tidak mendapat sokongan penuh kelab sekalipun menang kejuaraan berganda liga dan piala musim lalu.

Tekanan kini buat Bayern untuk bertindak cemerlang di bawah bos sementara Flick menentang Olympiakos dan membuktikan kekalahan besar hujung minggu lalu hanya sekali dalam sejuta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 1:01 PM