REAKSI Heung Min (dua kiri) selepas dia terbabit dengan kecederaan dialami Gomes. — FOTO Reuters
AFP

PENYERANG Tottenham, Son Heung Min memenangi rayuan terhadap kad merah diterimanya kerana terjahan yang menyebabkan kecederaan teruk pemain tengah Everton, Andre Gomes.

Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris mengubah keputusan itu semalam susulan rayuan Spurs, bermakna pemain kebangsaan Korea Selatan itu tidak akan menjalani penggantungan tiga perlawanan.

Heung Min dibuang padang selepas kekasaran yang menyebabkan Gomes mengalami kecederaan buku lali teruk ketika seri 1-1 di Goodison Park, Ahad lalu.

“Son Heung Min boleh beraksi buat Tottenham Hotspur FC bagi tiga perlawanan domestik berikutnya susulan keputusan suruhanjaya peraturan bebas,” menurut FA dalam satu kenyataan.


INSIDEN yang menyebabkan Gomes (kanan) mengalami kecederaan buku lali. — FOTO Reuters

Heung Min jelas kelihatan terkejut dengan tahap kecederaan Gomes dan tidak dapat ditenangkan selepas perlawanan itu.

Ia mencetus keraguan sama ada dia akan bersama Spurs bagi aksi penting Liga Juara-Juara menentang Red Star Belgrade, namun dia berada dalam skuad yang berlepas ke Serbia, semalam.

Gomes menjalani pembedahan kelmarin dan dijangka pulih tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 1:18 PM