Apek (kiri) kekal kata Damian. FOTO NSTP/NAzri Abu Bakar
Apek (kiri) kekal kata Damian. FOTO NSTP/NAzri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


BEKAS kapten dan penjaga gol skuad kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat (Apek) kekal bersama pasukan Melaka United (MU) bagi mengharungi Liga Malaysia musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li berkata, Khairul Fahmi terbabit masih memiliki kontrak sehingga 2020 justeru dia terus menjadi tunjang pasukan skuad Hang Tuah.

Katanya, pengalaman luas bekas penjaga gol Kelantan itu mampu memberi impak besar terhadap persiapan skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin Hassan.

“Sekurang-kurangnya tujuh pemain musim ini ditawarkan kontrak dengan dua daripada mereka iaitu pemain pertahanan Faris Shah Rosli dan penyerang, Deevan Raj sudah menerima tawaran.

“Selebihnya dalam tempoh terdekat. Namun beberapa aspek termasuk persetujuan berkaitan rundingan gaji perlu diselesaikan bersama dalam usaha menjamin kebajikan pemain,” katanya, hari ini.

Damian turut mengesahkan dua pemain import akan kekal bersama pasukan Hijau Putih sementara yang lain tiada dalam perancangan.

Dua import terbabit akan diumumkan selepas kontrak ditandatangani sedikit masa lagi.

Damian yang baru dilantik sebagai presiden MUSA 1 November lalu berkata, pemain yang tiada dalam senarai juga akan diberitahu lebih awal bagi mengelak kesukaran memilih pasukan baharu kelak.

MUSA akan memaklumkan kedudukan dan status masing-masing bersama pasukan berkenaan bagi membolehkan mereka membuka haluan baharu musim depan.

Beliau berkata, keputusan pemilihan pemain diserahkan kepada Zainal mengikut perancangannya untuk memastikan skuad berada dalam landasan sebenar musim 2020.

Melaka dibarisi pemain berpengalaman termasuk Shukor Adan, Safiq Rahim dan Razman Roslan meraih kedudukan tangga keenam dan mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 3:11 PM