MEGAT (dua dari kiri) bersama Shapawi (tiga dari kiri) pada sidang media Bengkel Penetapan Sasaran Pingat Sukan SEA Filipina 2019, di Kinrara Resort. FOTO/ROHANIS SHUKRI.
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


BIARPUN masih belum mendedahkan sasaran rasmi pungutan pingat di Sukan SEA Filipina 2019, Majlis Sukan Negara (MSN) berpendapat kontinjen negara berpeluang untuk memenangi 76 pingat emas asalkan atlet bertanding mampu mengekalkan prestasi sama seperti Sukan SEA 2017.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kontinjen negara bakal menyertai 386 daripada 531 acara dipertandingkan, membabitkan penyertaan 52 daripada 56 sukan termasuk 24 sukan baharu.

“Sebagai perbandingan, 76 pingat emas kita menangi di Sukan SEA 2017 ada dipertandingkan kali ini. Jadi kita boleh lihat sama ada atlet kita boleh mengekalkan kemenangan,” katanya ketika sidang media ketika Bengkel Penetapan Sasaran Pingat Sukan SEA 2019 hari ini.

Jelasnya ketika ini, semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) sudah memuktamadkan jumlah sasaran pingat dan senarai akhir atlet yang akan bertanding di Sukan SEA.

“Kita akan bentangkan kepada Menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dan pada 21 November ini, beliau akan umumkan sasaran sebenar pingat emas buat kontinjen Malaysia.

"Kita akan adakan perhimpunan akhir kontinjen di Bangi pada 19 hingga 21 November disusuli penyerahan Jalur Gemilang ke temasya itu," katanya pada sidang media selepas majlis penutupan bengkel itu.

Sementara itu Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beberapa pegawai daripada MOM dan MSN akan menghadiri mesyuarat akhir pendaftaran atlet di Manila pada 16 hingga 18 November ini.

"Mesyuarat ini penting untuk semakan akhir kerana kita tidak mahu ada atlet kita yang tercicir daripada senarai atlet bertanding. Untuk makluman kontinjen pertama ke Manila adalah polo pada 17 November," katanya.

Beliau turut menghargai komitmen tinggi dan kerjasama diberikan 114 jurulatih dan pengurus pasukan yang menghadiri bengkel itu.

"Kita dapat kerjasama cukup padu daripada semua pengurus dan jurulatih.

"Ini tunjukkan kita serius kali ini. Walaupun ada atlet mereka berlatih di luar negara, Asia dan Eropah malah baru pulang dari China mereka tetap hadir bengkel dua hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 9:26 PM