RODRYGO (tengah) menanduk masuk gol kedua Real di Bernabeu. — FOTO Reuters
AFP

RODRYGO meledak hatrik sensasi dan dua gol terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara awal pagi tadi apabila Real Madrid membelasah Galatasaray 6-0 di Santiago Bernabeu.

Pemain berusia 18 tahun itu menyumbat dua gol selepas hanya enam minit dan 14 saat sebelum melorongkan kepada Karim Benzema untuk menjaringkan gol keempat selepas Sergio Ramos menyempurnakan sepakan penalti.

Benzema kemudian menambah gol kelima sembilan minit sebelum tamat dan Rodrygo melengkapkan hatriknya pada masa kecederaan.

“Dia tidak mengejutkan saya,” kata jurulatih Madrid, Zinedine Zidane. “Dia mempunyai segala-galanya. Dia bijak, dia belajar dengan pantas dan mahu belajar serta meningkat.

“Secara fizikal dia perlu lebih meningkat tapi secara teknikal, dia tahu apa yang perlu dilakukan dengan bola.”

BENZEMA (kanan) menyumbang dua gol ketika menentang Galatasaray. — FOTO Reuters

Sekalipun Real Madrid belum melayakkan diri ke pusingan kalah mati, Rodrygo ternyata pemain yang mencuri tumpuan ketika ini.

Selepas menjaringkan gol terpantas liga bagi pemain yang melakukan penampilan sulung buat Real September lalu - kawalan menakjubkan serta penyudah selepas 94 saat - kini namanya turut dicatat dalam rekod Eropah.

“Hari ini impian saya menjadi kenyataan,” kata Rordygo.

“Dia tidak takut,” kata Benzema. “Dia seronok ketika memegang bola dan saya sukakan pemain yang beraksi sebegitu.”

Benzema sendiri merakam sejarah dengan menyamai dan kemudian mengatasi catatan 49 gol Piala Eropah jaringan pemain legenda kelab Alfred di Stefano.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 11:30 AM