McMenemy akan tinggalkan skuad kebangsaan Indonesia. FOTO REUTERS
McMenemy akan tinggalkan skuad kebangsaan Indonesia. FOTO REUTERS
AFP

INDONESIA akan mencari ketua jurulatih baru bola sepak negara itu selepas mengumumkan Simon McMenemy akan dipecat selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Malaysia.

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) berkata mereka akan berpisah dengan pengendali dari Scotland itu selepas perlawanan Piala Dunia di Kuala Lumpur pada 19 November ini.

Tanpa menyatakan sebarang sebab, Indonesia kini menghuni tangga tercorot Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia Asia selepas tewas semua empat perlawanan setakat ini menyebabkan timbul kempen desakan #SimonOut di media sosial mahukannya meletak jawatan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Simon terhadap kerjasamanya setakat ini,” kata pengerusi PSSI yang baru dilantik, Muhammad Iriawan.

“Kami mengharapkan keputusan positif pada perlawanan menentang Malaysia.”.

McMenemy, 41 menandatangani kontrak selama dua tahun pada tahun lalu untuk membimbing pasukan kebangsaan negara itu.

PSSI sedang menimbangkan beberapa calon pengganti McMenemy termasuk bekas ketua jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong dan bekas pemain Barcelona dan pemain tengah Real Madrid, Luis Milla.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 4:06 PM