Hamidin anggap WFS medan terbaik. FOTO NSTP
Hamidin anggap WFS medan terbaik. FOTO NSTP
BERNAMA

EDISI kedua Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia (WFS) Asia, Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Julai 2020 menjadi platform terbaik kepada pihak berkepentingan bola sepak tempatan memahami tuntutan terkini dalam mengurus tadbir bola sepak.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang merasmikan edisi pertama sidang kemuncak itu, April lalu, percaya edisi kali ini merupakan medan terbaik untuk semua pihak berkepentingan dalam industri bola sepak negara mengenal pasti trend terkini dalam bola sepak dunia.

Kehadiran beberapa tokoh selaku penyampai ucap tama dengan kertas pembentangan serta sesi perkongsian ilmu, WFS Asia tentunya memberi ruang kepada pihak berkepentingan menjalin rangkaian hubungan serta berhimpun dalam mencari idea baharu.

Selain itu, ia juga dapat menjana pendapatan sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi menerusi industri bola sepak, katanya menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebook FAM.

Hamidin turut menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran sidang kemuncak itu yang bukan sahaja mendedahkan FAM dan ahli gabungan serta semua pihak berkepentingan kepada idea terkini malah turut menyumbang kepada pelancongan sukan negara menerusi kehadiran ramai perwakilan dari luar negara.

Edisi kedua dianjurkan susulan kejayaan penganjuran julung kali WFS Asia di sini, yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan dari 60 negara dengan pelbagai latar belakang dalam industri bola sepak, termasuk pembuat dasar di peringkat negara dan kelab, penaja dan pengamal media.

Hamidin turut menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi WFS Asia diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, R Mohan di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 5:10 PM