Firdaus Hashim

AKSI persahabatan antarabangsa menentang Tajikistan yang kini berada di tangga ke-116 dunia bakal menjadi medan ‘eksperimen’ buat pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Menurut jurulatih yang berasal dari Kedah itu, beliau terpaksa melakukan eksperimen serta mencuba beberapa gandingan baharu dalam kesebelasan utama Harimau Malaya selepas beberapa tonggak baharu disenaraikan pada kem latihan kali ini.

Katanya, keputusan aksi menentang Tajikistan bukanlah keutamaan buatnya sebaliknya beliau mahu pemain mencari keserasian sebelum turun menempuh dua aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Thailand dan Indonesia pada 14 dan 19 November ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya adakah beliau sudah mempunyai bayangan 11 pemain yang akan beraksi terlebih dulu malam Sabtu ini, Cheng Hoe tidak mempunyai jawapan yang konkrit dan dilihat akan memuktamadkannya selepas latihan terakhir esok.

“Saya rasa perlu beri peluang kepada pemain yang dipanggil dan sedang bersama pasukan tetapi, saya belum buat keputusan siapa yang akan diturunkan cuma saya akan turunkan pemain yang cergas.

“Mana-mana pemain yang mungkin tidak cergas, saya akan ketepikan dahulu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, hari ini.

Skuad Harimau Malaya yang menghuni tangga ke-158 wajib melakar kemenangan apabila berdepan skuad Gajah Perang dan skuad Garuda selepas sekadar menghuni kedudukan keempat kumpulan.

Tewas dalam dua aksi terdahulu kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dengan 1-2 dan 0-1 menyaksikan pasukan negara sekadar mengumpul tiga mata yang diraih ketika menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi pertama.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan latihan pasukan, beliau mengakui berpuas hati dengan komitmen pemain namun mengharapkan prestasi pemain dapat ditingkatkan.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati, tetapi pemain kena tingkatkan prestasi bukan hanya dalam perlawanan menentang Tajikistan, tetapi lebih penting iaitu Thailand dan Indonesia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 8:03 PM
PEMAIN Skuad Harimau Malaya giat berlatih pada sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Wisma FAM hari ini.
PEMAIN Skuad Harimau Malaya giat berlatih pada sesi latihan skuad kebangsaan di Padang Wisma FAM hari ini.