GREENWOOD (tengah) membuka tirai jaringan di Old Trafford. — FOTO Reuters
AFP

PEMAIN remaja Mason Greenwood menyumbat gol ketika Manchester United layak ke pusingan 32 terakhir Liga Europa selepas menang 3-0 ke atas Partizan Belgrade di Old Trafford awal pagi tadi, manakala Celtic mengejutkan Lazio dengan gol saat akhir di Rome untuk mara.

United kendalian Ole Gunnar Solskjaer sedar kemenangan ketiga dalam empat perlawanan Kumpulan L sudah mencukupi untuk memastikan kemaraan mereka.

Greenwood yang berusia 18 tahun memecah kebuntuan pada minit ke-22 dengan penamat tenang untuk menjaringkan gol ketiganya musim ini dan kedua dalam pertandingan itu.

Anthony Martial menggandakan kelebihan selepas setengah jam dengan gol individu menakjubkan sebelum Marcus Rashford merembat masuk gol ketiga empat minit selepas rehat.

RASHFORD (kiri) menyumbat gol ketiga United. — FOTO EPA

Kemenangan selesa itu menyaksikan United bangkit selepas tewas 0-1 di Bournemouth hujung minggu lalu yang menamatkan catatan tiga kemenangan berturut-turut.

“Saya fikir ia persembahan yang bagus tapi masih ada perkara yang kami perlu tingkatkan,” kata Rashford kepada BT Sport. “Kami berjaya menjaringkan tiga gol tapi ia mungkin patut lebih banyak lagi.”

Olivier Ntcham meledak gol kemenangan dramatik pada masa kecederaan bagi memastikan Celtic menang 2-1 di Lazio.

Anak buah Neil Lennon kekal di tangga teratas Kumpulan E dengan berbaki dua perlawanan, tujuh mata di depan pasukan tangga ketiga Lazio selepas kemenangan kedua berturut-turut mereka ke atas kelab Rome itu.

NTCHAM (dua kanan) meledak gol kemenangan Celtic di Stadio Olimpico. — FOTO EPA

“Hebat untuk melayakkan diri dengan berbaki dua perlawanan,” kata pengurus Celtic, Lennon kepada uefa.com.

“Terlalu awal untuk menyatakan sejauh mana kami boleh pergi dalam pertandingan ini tapi kami boleh menjadi lawan yang sukar buat mana-mana pasukan.”

Rembatan voli Ciro Immobile menyaksikan tuan rumah mendahului selepas tujuh minit tetapi James Forrest menyamakan kedudukan buat Celtic sebelum rehat.

Namun pemain gantian Ntcham menyambut hantaran Odsonne Edouard pada minit kelima masa kecederaan sebelum melakukan penyudah mengagumkan melepasi penjaga gol Lazio, Thomas Strakosha.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 7:48 AM