JIMENEZ (dua kiri) menanduk masuk gol tunggal kemenangan Wolves. — FOTO Reuters
Agensi

RAUL Jimenez membantu Wolves semakin hampir ke pusingan kalah mati Liga Europa apabila jaringannya pada masa kecederaan mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Slovan Bratislava di Molineux, England, awal pagi tadi.

Perlawanan itu kelihatan berakhir tanpa jaringan selepas penjaga gol Bratislava, Dominik Greif menyelamatkan sepakan penalti Ruben Neves pada awal separuh masa kedua.

Bagaimanapun, penyerang Mexico, Jimenez menanduk masuk hantaran silang Adama Traore untuk memastikan tiga mata.

Wolves menghuni tangga kedua Kumpulan K dengan sembilan mata, lima di depan pasukan tangga ketiga Bratislava dengan berbaki dua perlawanan.

INSIDEN yang menyaksikan Bajric (tengah) cedera selepas disepak di muka oleh Jimenez (kanan). — FOTO Reuters

Pasukan kendalian Nuno Espirito Santo itu hanya memerlukan satu mata untuk layak ke pusingan berikutnya.

Gol kemenangan hadir pada minit kedua daripada 12 minit masa kecederaan, susulan perlawanan tertangguh lama kerana rawatan terhadap pemain Bratislava, Kenan Bajric, yang cedera mukanya apabila terkena but Jimenez ketika dia cuba melakukan sepakan gunting.

Jimenez memberitahu BT Sport: “Ia sukar buat kami. Saya tak tahu apa nak kata. Saya harap dia pulih dengan segera.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 8:14 AM