SIVASANGARI (kiri) ketika beraksi pada Kejohanan Individu Asia awal tahun ini. — FOTO Owee Ah Chun
Iskandar Shah Mohamed


JAGUH skuasy wanita negara, S Sivasangari membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri apabila melonjakkan kedudukan di ranking dunia dalam tempoh sebulan.

Juara kebangsaan dari Kedah itu kini berada di ranking ke-42 selepas beraksi cemerlang dalam dua kejohanan berprestij di peringkat antarabangsa, bulan lalu.

Sivasangari yang menghuni ranking ke-48 dunia sebelum ini menundukkan beberapa pemain ternama termasuk kelompok 10 terbaik dunia.

Dia bagaimanapun terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Klasik Detroit Pro di Amerika Syarikat, kelmarin kerana kecederaan hamstring.

Berdasarkan ranking terkini PSA, juara Terbuka Australia itu berada di belakang rakan senegara, Rachel Arnold yang menghuni ranking ke-41 manakala pemain berpengalaman, Low Wee Wern di tangga ke-24.

Pada Kejohanan Wanita Dunia di Mesir bulan lalu, Sivasangari melakar kejutan ke atas pemain kelapan dunia dari Amerika Syarikat, Amanda Sobhy dan pemain ranking ke-29 dunia, Milou Van Der Heijden dari Belanda.

Aksi cemerlang turut dipamerkannya pada Terbuka AS apabila menundukkan pemain ranking ke-13 dunia, Alison Waters dari England.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 3:46 PM