AARON dan Wooi Yik akan menentang beregu Jepun pada separuh akhir esok.
Azlan Muhammad Zain


RENTAK cemerlang beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berterusan apabila menumbangkan juara dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di pentas suku akhir Terbuka China di Fuzhou, hari ini.

Walaupun terpaksa mengharungi aksi tiga set melepasi pusingan kedua semalam, mereka tidak berdepan masalah untuk meneruskan aksi konsisten apabila hanya memerlukan 25 minit untuk menang dalam aksi dua set.

Mereka bermula cemerlang apabila memenangi set pertama 21-13 dengan lawan yang juga di ranking kedua dunia cuba mengheret permainan namun gagal apabila beregu negara turut menang 22-20.

Ia turut menamatkan badi kekalahan mereka dalam empat pertemuan kepada pasangan berpengalaman dari Indonesia itu yang muncul juara dunia pada Ogos lalu.

Jelas Aaron, kemenangan berkenaan akan meningkatkan keyakinan mereka untuk aksi separuh akhir apabila dijadual bertemu beregu keempat dunia dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda esok.

Turut melangkah ke separuh akhir adalah beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai yang berdepan tugas getir bertemu pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 7:58 PM