FARIS ketika beraksi bersama PKNS FC musim lalu.
Malik Muhamad


KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain yakin pemain kebangsaan Singapura, Muhamad Faris Ramli mampu memberi impak besar kepada skuad Penyu musim depan.

Malah beliau juga optimis pemain yang akan beraksi di posisi sayap itu mampu membantu jentera serangan memburu jaringan.

Bekas pemain kelab Hougang United FC dalam Liga Singapura itu adalah watak penting pasukan itu musim ini apabila menghasilkan 11 gol sepanjang 13 penampilan bersama skuad berkenaan.

"Faris antara pemain saya ikuti perkembangannya sebelum ini kerana corak permainan serasi dengan taktikal diterapkan TFC. Justeru saya harap dia dapat mengikut jejak rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan Singapura, Safuwan Baharuddin dan Hariss Harun yang beraksi cemerlang bersama Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT)," jelas Nafuzi.

Faris yang menyarung jersi PKNS FC pada 2018 menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad Penyu, Selasa lalu.

Kehadiran bekas bintang Lions XII yang membantu skuad itu menjulang trofi Piala FA dan Liga Super pada 2015 sudah pasti bakal memantapkan lagi posisi sayap pasukan.

Bagaimanapun, Nafuzi berkata pemain itu memerlukan sedikit masa untuk menyarung jersi TFC memandangkan khidmatnya diperlukan skuad kebangsaan Singapura bagi menghadapi saingan Sukan SEA di Filipina sebagai salah seorang pemain lebih had umur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 9:55 PM