SHAH Firdaus buru mata tambahan.
Azlan Muhammad Zain

PELUMBA berbasikal trek, Shah Firdaus Sahrom mahu tampil lebih ‘garang’ apabila turun beraksi pada siri kedua Piala Dunia di Glasgow, hujung minggu ini.  

Dia menamatkan siri pertama Piala Dunia di Belarus dengan kecundang di pusingan kedua selain disingkirkan pada separuh akhir dalam acara keirin kerana melanggar peraturan.

"Saya masih melihat pencapaian di Belarus adalah positif terutamanya pecut individu. Saya menamatkan peringkat kelayakan di kedudukan ke-18 terbaik dengan masa 9.924 saat.

"Selepas menang pusingan pertama, saya bertemu pelumba Belanda (Jeffrey Hoogland) yang juga juara Eropah di pusingan kedua serta hampir menewaskan dia dengan perbezaan 0.008s.

"Jadi saya fikir dari segi perlumbaan saya tiada masalah untuk bersaing dengan mereka dari Eropah," jelasnya.

Tambah Shah Firdaus, dia mengharapkan persembahan lebih baik di Glasgow terutamanya dalam pecut individu kerana perlu menambah mata bagi tiket ke Olimpik Tokyo menerusi acara itu.

Malaysia berpeluang meraih tiket individu ke Olimpik Tokyo menerusi pecut individu namun perlu menduduki tujuh tempat teratas selepas ditolak lapan negara yang mendapat tiket menerusi pecut berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 10:18 PM