AKSI perlawanan di antara Liverpool menentang Manchester City. FOTO Reuters.
AFP

LIVERPOOL sudah sekian lama mengharungi ‘harapan palsu’ dalam tempoh 29 tahun sejak kali terakhir menjulang gelaran liga, namun skuad 2019/20 berpeluang membuktikan kemampuan mereka apabila dikunjungi juara bertahan Manchester City awal pagi Isnin.

Semangat berkobar-kobar City untuk terus mencapai rekod terbaik di bawah Pep Guardiola menyebabkan Liverpool ternanti-nanti.

Biarpun mengumpul jumlah mata ketiga tertinggi dalam sejarah liga utama Inggeris musim lalu dengan 97, Liverpool tewas hanya satu mata selepas City mengumpul 98 mata untuk mengekalkan kejuaraan mereka.

Dibelenggu isu kecederaan pertahanan, standard itu kelihatannya menurun awal musim ini, membolehkan anak buah Juergen Klopp mendahului enam mata menjelang aksi kedua-dua pasukan teratas itu.

“Musim lalu kami menang Liga Perdana Inggeris mengatasi lawan terbaik sepanjang karier saya,” kata Guardiola.

“Ketika ini Liverpool adalah pasukan terkuat dunia. Bermain di Anfield, kami sedar betapa pentingnya perlawanan itu bagi mereka dan semua lawan mereka.”

Semakin bertenaga sejak Klopp mengendalikan pasukan itu empat tahun lalu, Liverpool tidak pernah tewas aksi Liga Perdana di laman sendiri sejak April 2017.

Satu-satunya kekalahan mereka dalam 50 perlawanan dalam mana-mana perlawanan adalah kepada City di tempat lawan pada Januari dalam pertarungan yang mengesahkan perebutan gelaran.

Konsistensi kedua-dua kelab menjadikan perlawanan ini sebagai aksi terhebat bola sepak Inggeris sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2017/18, Liverpool menamatkan hasrat City untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dan menewaskan anak buah Guardiola 5-1 secara agregat dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara.

“Makin lama makin hebat,” kata Klopp.

“Man City adalah pasukan bola sepak yang hebat. Syukur ada saingan seperti ini kerana ia membuktikan kami juga tidak berada di kedudukan yang teruk.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 9:45 AM