OLE Gunnar Solskjaer. FOTO AFP
AFP

MANCHESTER United memberi bayangan masa depan yang lebih cerah apabila trio Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood masing-masing meledak jaringan ketika menang 3-0 dalam aksi Liga Europa ke atas Partizan Belgrade kelmarin.

Biarpun berdepan lawan yang sederhana, aksi ketiga-tiga pemain itu menjaringkan gol sesuatu yang dialu-alukan Ole Gunnar Solskjaer, yang menyaksikan pasukannya bergelut memburu gol musim ini.

Solskjaer menyedari betapa pentingnya mencatat kemenangan yang baik dengan meletakkan pasukan terkuat berbanding tiga aksi Liga Europa sebelum ini dan keinginannya untuk mendapatkan aksi terbaik mula mendapat perhatian.

Pada usia 18 tahun, Greenwood memberikan harapan sebagai seorang penjaring gol sejati tetapi sandaran United musim ini terletak di bahu Martial dan Rashford.

Tindakan Solskjaer dengan sokongan pemain senior kelab itu untuk melepaskan Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez pada perpindahan musim panas membuatkan pengurus kelahiran Norway itu kehilangan beberapa pilihan di bahagian serangan, justeru Martial dan Rashford perlu meningkatkan permainan mereka.

Solskjaer bagaimanapun tidak berpuas hati sepenuhnya terhadap aksi pasukan ke atas Partizan.

“Aksi kami masih belum cukup konsisten dalam perlawanan demi perlawanan tetapi ia akan berubah.

“Ia semakin baik dan saya fikir apabila kami berjaya melepasinya, pemain akan belajar sesuatu daripadanya.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 10:29 AM