KIM Swee memantau sesi latihan skuad B-23 di Padang Wisma FAM.
Syazwan Msar


TEMPOH rehat terlalu lama menyebabkan beberapa pemain dipanggil menjalani latihan bersama skuad Bawah 23 (B-23) lemau.

Perkara terbabit disahkan jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang mengaku tahap kecergasan beberapa pemain kurang memuaskan.

Beliau berkata, perkara terbabit akan diatasi segera apabila beberapa latihan intensif dilakukan dalam masa terdekat ini sebagai persiapan ke temasya Sukan SEA Filipina.

“Seperti dijangkakan, kita tahu selepas cuti ada beberapa pemain tidak dapat mengekalkan tahap kecergasan namun latihan dilakukan sudah mula menampakkan perkembangan.

“Kami melakukan ujian kecergasan bagi menguji tahap keupayaan pemain dan mereka perlu melepasinya bagi memastikan cukup berupaya menggalas cabaran mewakili negara,” katanya.

Skuad akhir 20 pemain akan berlepas ke Manila pada 23 November bagi menghadapi saingan Kumpulan A yang dibarisi tuan rumah Filipina, Myanmar, Kemboja dan Timor-Leste bermula 25 November di dua venue iaitu Stadium Memorial Rizal dan Stadium Binan, Filipina.

Kumpulan B pula menampilkan juara bertahan Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir yang dijadual pada 7 Disember manakala perlawanan penentuan pingat gangsa dan seterusnya aksi final dijadual berlangsung pada 10 Disember, sehari sebelum upacara penutup Sukan SEA 2019.

Pada Sukan SEA 2017, Malaysia meraih pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi final di Stadium Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 9:17 PM