AMY baru pulih daripada kecederaan pergelangan kaki kiri. FOTO Yazit Razali
Iskandar Shah Mohamed

BIARPUN mengharungi tempoh kecederaan panjang, gimnas negara, Amy Kwan yakin dia tetap mampu menghadiahkan emas buat kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Atlet gimrama berusia 24 tahun itu tidak beraksi di pentas kompetitif sejak Disember tahun lalu selepas menjalani pembedahan pergelangan kaki kiri.

Namun, Amy yang juga pernah beraksi di Olimpik kini kembali pulih dan cergas sepenuhnya untuk menggalas cabaran skuad gimrama di temasya dwitahunan itu nanti.

“Kecederaan saya baharu saja pulih dan perlu kekal konsisten kerana kurang menjalani latihan sebelum ini. Sukan SEA adalah kejohanan terbesar saya tahun ini dan mahu bangkit untuk terus meraih kejayaan terutama dalam acara riben,” katanya.

Kata Amy, gimnas Thailand dan Vietnam dianggap pesaing terkuat dan mereka bakal menjadi penghalang utamanya di gelanggang Metro Manila nanti.

“Namun, saya berazam untuk memperagakan persembahan terbaik, sekali gus kekal meraih pingat buat kem gimrama negara,” katanya.

Amy, gimnas paling senior kali ini, meraih pencapaian cemerlang dengan dua emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan satu emas pada temasya Komanwel dalam acara riben.

Untuk rekod, skuad gimrama kebangsaan menyapu bersih semua lapan pingat emas yang dipertandingkan di KL2017.

Pada edisi di Filipina kali ini, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) optimis mampu mencapai sasaran lima emas iaitu empat menerusi acara individu dan satu bagi kategori latihan berkumpulan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:01 AM