Enjin Mercedes digunakan Hamilton mendominasi saingan selama enam musim. FOTO NSTP
Agensi

KOS untuk membangunkan enjin Formula Satu (F1) yang didedahkan dalam satu kajian terbaru menunjukkan pengeluar kenderaan perlu komited untuk mengeluarkan belanja sebanyak £1.1 bilion (RM5.8 bilion) dalam usaha untuk memenangi kejuaraan.

Sebelum ini, kos petrol berkualiti tinggi sudah pun menyebabkan dua daripada empat pasukan pembekal enjin menimbangkan sama ada untuk kekal dalam siri atau meninggalkan perlumbaan itu.

Dengan kontrak 10 pasukan bertanding sudah sampai ke penghujung kini wujud peluang baru menerusi pengenalan peraturan baru untuk menghangatkan semula saingan selepas enam tahun didominasi oleh Mercedes.

Sejak pengenalan enjin 1.6 liter V6 turbo pada 2014, Mercedes memenangi 73.7 peratus perlumbaan diikuti Ferrari (14.4 peratus), Renault (10.2 peratus) dan Honda (1.7 peratus).

Menurut penasihat permotoran pasukan Red Bull Racing yang menggunakan enjin Honda, Helmut Marko berkata, perubahan perlu dilakukan untuk memastikan gergasi automatif Jepun itu terus berada dalam F1.

Marko memberitahu majalah auto Jerman: “Honda sedang menunggu sehingga peraturan baru diperkenalkan. Mereka akan menganalisa dan membuat keputusan.”

Marko menjelaskan mengurangkan kos buat Honda ‘sangat penting’ dan jika ia tidak merangkumi penurunan kos, ia akan menyebabkan ada pengeluar akan meninggalkan saingan.

“Bukan satu langkah bijak untuk mengekalkan spesifikasi enjin sekarang kerana ia hanya akan menjadi sekiranya setiap orang berada di tahap sama. Buat masa ini Ferrari dan Mercedes berada di depan berbanding setiap pasukan lain dalam kelayakan.”

F1 membuat pengumuman peraturan baru minggu lalu dengan aerodinamik akan melalui perubahan pada 2021 manakala enjin akan kekal sama.

Renault juga mempertimbangkan untuk menilai semula pembabitan mereka dalam F1 berikutan penurunan pendapatan 1.6 peratus kepada €11.3 euro (RM53 bilion) pada suku tahun ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 4:50 PM