SKUAD B-18 negara meraikan kejayaan menewaskan Thailand. - FOTO Agensi
Syazwan Msar


SELEPAS membantu skuad B-18 negara menempah tiket ke Kejuaraan AFC B-19 2020 di Uzbekistan dengan menundukkan Thailand 1-0 semalam, lima pemain terpaksa pula mengerah keringat menjalani latihan bagi persiapan menjelang Sukan SEA Filipina.

Antara pemain terbabit adalah penyerang muda Luqman Hakim Shamsudin, Harith Haiqal Adam Afkar, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Muhamad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Muhammad Azam Azmi Murad adalah muka baharu dipanggil ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 22 (B-22) negara Datuk Ong Kim Swee.

Namun, ia tidak menjadi masalah buat Harith Haiqal apabila tekad memberikan persembahan terbaik bagi memikat hati Kim Swee untuk menempatkan diri dalam senarai akhir ke kejohanan terbabit.

Malah, dia juga terpaksa ‘langgar’pemain yang lebih berusia dalam usaha membuktikan kemampuan dan kebolehan dalam sesi latihan nanti.

“Secara peribadi saya tidak bersedia lagi kerana faktor umur namun tetap berikan terbaik dan buktikan sesuatu kepada jurulatih. Jika dibandingkan kemahiran mungkin boleh bersaing dengan pemain lebih berusia cuma kelajuan dan kekuatan fizikal kurang berbanding mereka. “Walau apa pun saya kena hormat pemain lebih senior namun ketika berlatih terpaksa ‘langgar’ bagi menempatkan diri dalam senarai akhir,”katanya, di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan menentang Thailand pada perlawanan terakhir Kumpulan G Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 petang semalam, Harith menyatakan setiap pemain berkomunikasi antara satu sama lain sebelum aksi berkenaan bermula.

“Kami bercakap antara satu sama lain dengan masing-masing akan memberi pendapat dan nasihat untuk perbaiki permainan. Ternyata ia berkesan apabila kami berjaya kurangkan kesilapan pada perlawanan terbabit,”katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 6:28 PM