SHAH Firdaus konsisten catat bawah 10 saat di Eropah.
Azlan Muhammad Zain


PELUMBA berbasikal trek, Shah Firdaus Sahrom melihat secara positif prestasinya dalam dua siri pertama Piala Dunia di Eropah walaupun pulang tangan kosong.

“Ia permulaan saya harapkan pada dua siri pertama Piala Dunia. Saya konsisten mencipta catatan bawah 10 saat dalam kelayakan 200 meter di Minsk dan Glasgow," katanya.

Shah Firdaus melakukan catatan 9.944 saat siri kedua Piala Dunia di Glasgow seminggu selepas dia melakukan 9.924s pada siri pertama Piala Dunia di Minsk.

Bagaimanapun, cabaran Shah Firdaus dalam pecut individu di Glasgow dikecewakan juara Olimpik, Jason Kenny di pusingan kedua apabila tewas tipis di garisan penamat.

"Berdepan juara Olimpik (Jason Kenny) dalam saingan pecut individu dengan tewas tipis. Secara keseluruhan di kedudukan ke-16 (pecut individu), saya berani mengatakan, sesuatu yang positif akan hadir," jelas pelumba kelahiran Johor itu.

Malah Kenny turut mengecewakannya untuk melangkah lebih jauh dalam keirin apabila selepas pelumba Great Britain itu memenangi saingan repechage dengan Shah Firdaus tersingkir apabila menduduki tempat kedua.

Pada siri pertama Piala Dunia di Minsk, Shah Firdaus turut tersingkir pada pusingan kedua, kecundang kepada juara Eropah, Jeffrey Hoogland dari Belanda selain disingkirkan pada pada separuh akhir keirin kerana melanggar peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 10:05 PM