XHAKA masih sayang Arsenal. - FOTO Agensi
AFP

GRANIT Xhaka mungkin telah dilucutkan lilitan kapten Arsenal susulan pergeseran dengan penyokong tetapi dia tekad terus kekal dan berjuang mendapatkan tempat dalam pasukan.

Pemain tengah antarabangsa Switzerland berusia 27 tahun itu tidak beraksi sejak membalas makian penyokong Gunners ketika dikeluarkan dalam aksi menentang Crystal Palace dua minggu lalu.

Walaupun pengurus Unai Emery menetapkan dia tak akan meneruskan tugas sebagai kapten --- peranan diberikan menerusi undian rasmi pemain, dia memberitahu akhbar Swiss tidak meninggalkan Arsenal.

Xhaka mempunyai hubungan dingin dengan penyokong Arsenal sejak tiba dari kelab Bundesliga, Borussia Moenchengladbach pada 2016 dengan harga £38 juta (RM202 juta).

"Anda boleh pastikan saya akan terus berjuang dan mempamerkan komitmen tinggi dalam setiap sesi latihan,” kata Xhaka.

"Saya rasa minggu lalu telah selesai dan kini saya bersedia. Masa saya di Arsenal sangat positif dalam tempoh jangka masa lama.

"Selepas permulaan sukar, saya banyak beraksi dan keseluruhannya saya mempunyai masa yang hebat di Arsenal. Saya dan keluarga suka dengan suasana London.”

Xhaka yang dikaitkan dengan perpindahan dengan Newcatle pada Januari lalu berkata cercaan dan herdikan penyokong tidak mengubah pandangannya terhadap kelab dan bandar.

"Saya akan terus kekal positif,” katanya. “Saya akan buktikan kepentingan saya kepada pasukan hebat ini.”

Kekalahan 0-2 kepada Leicester semalam menyebabkan Arsenal hanya menang sekali daripada enam aksi Liga Perdana dan lapan mata di belakang pasukan tangga keempat, Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 10:30 PM