SUMAREH tonggak Harimau Malaya.
Syazwan Msar


MENYAKSIKAN rakan seperjuangan diraikan dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) saban tahun membangkitkan rasa ‘cemburu’ di hati pemain tengah Pahang, Mohamadou Sumareh yang menyimpan misi sama untuk turut berada di atas pentas majlis berprestij itu.

Hasratnya semakin hampir menjadi kenyataan apabila tercalon dalam kelompok tiga terbaik bagi kategori Pemain Tengah Terbaik ABK 2019 bersama dua lagi pesaing iaitu rakan sepasukan Nor Azam Azih dan tonggak utama Perak Brendan Gan.

Sudah pasti, ia pengiktirafan cukup bermakna buat pemain naturalisasi negara ini apabila tercalon buat julung kalinya kerana sudah lama mengimpikan untuk berada dalam acara kemuncak arena bolasepak Malaysia sebagai calon pemenang.

Namun, untuk dinobatkan sebagai pemenang bukannya mudah berdasarkan prestasi semasa ditampilkan Azam dan juga Brendan yang kembali mencuri tumpuan selepas bangkit daripada kecederaan serius, ACL sebanyak dua kali.

“Secara jujurnya, saya cukup gembira apabila melihat rakan diraikan dalam anugerah berprestiji seperti itu selain dapat hadir mengenakan pakaian cukup segak dan bergaya.

“Bagi saya, suasana sebegitu cukup indah untuk dirasai dan lebih manis apabila kemenangan itu berpihak kepada kami di samping tepukan gemuruh dalam satu majlis cukup besar itu. “Saya belum pernah lagi merasai saat sebegitu dan tercalon dalam kelompok tiga terbaik sudah cukup memberi satu kepuasan dan diharapkan rezeki akan berpihak kepada saya untuk menaiki pentas utama tahun ini,” katanya.

Untuk rekod, bekas kapten pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik 2015 dan 2016 diikuti Baddrol Bakhtiar pada tahun berikutnya. Tonggak utama JDT, Safawi Rasid mencuri tumpuan pada edisi lalu apabila menjadi pemenang bagi kategori tersebut yang turut menjulang gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 11:35 PM