Skip this ad x
RIDZUAN PUZI
BERNAMA

ATLET paralimpik kebangsaan, Ridzuan Puzi merangkul pingat gangsa dalam acara 100m lelaki T36 (palsi serebrum) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, awal pagi semalam.

Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018 itu mencatat masa 11.97 saat yang juga tidak jauh daripada rekod terbaiknya, 11.87s yang dicatat pada Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Pelari Australia, James Turner melakar rekod baharu dunia 11.72s untuk meraih pingat emas, manakala Yang Yifei dari China merangkul perak dengan rekod baharu Asia 11.79s, memadamkan rekod Ridzuan di Jakarta.

Ridzuan atau lebih mesra dipanggil Dikwan, memenangi pingat emas dalam acara sama pada edisi 2015 di Doha, selain memperoleh pingat perak pada edisi 2017 di London.

Pingat gangsa atlet berusia 32 tahun itu menyaksikan Malaysia mengumpul tiga pingat, termasuk dua perak sumbangan Jonathan Wong dalam acara lompat jauh lelaki T12 (gangguan penglihatan) dan Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 6:00 AM