Ahirudin (kiri sekali) dan Rafiz (kanan sekali) menyampaikan hadiah kepada pasukan Harian Metro sebagai naib juara. FOTO ASRIZAL ARIS
Iskandar Shah Mohamed


PASUKAN Media Prima Bhd (Media Prima) menyapu bersih tiga tempat teratas Kejohanan Boling Media dan Kelab Wartawan Nasional (NPC)-Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, Petaling Jaya.  

Pasukan TV9 muncul juara selepas menjatuhkan 2,075 pin sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.  

Naib juara pula diraih pasukan Harian Metro A dengan 1,887 jatuhan pin (RM1,000) manakala pasukan TV3 B di tempat ketiga mengumpul 1,870 pin (RM800).  

Sebanyak 19 pasukan media cetak dan elektronik beraksi dalam pertandingan boling tiga pusingan berkenaan, kelmarin.  

Presiden NPC, Datuk Ahirudin Atan berkata, pihaknya teruja menganjurkan kejohanan itu yang kali terakhir diadakan pada 2009. 

"Selepas 10 tahun, kami dengan kerjasama PIDM kembali meraikan warga media tempatan sekali gus mengeratkan lagi ikatan silaturahim sedia ada," katanya.  

Kategori pemain lelaki terbaik dimenangi Hazwan Alias dari TV3 dengan 626 jatuhan pin manakala Shelizan Dollah (TV9) diumumkan sebagai pemain wanita terbaik.  

Selain hadiah wang tunai, semua pemenang menerima piala yang disampaikan Akhirudin dan Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 1:26 PM