DONOVAN (dua kiri) bersama jurulatih dan barisan pemain hoki air kebangsaan. - FOTO Mohd Yusni Ariffin
Iskandar Shah Mohamed


BIARPUN mempertaruhkan ramai pemain baharu, kem hoki dalam air kebangsaan optimis mampu meraih pingat gangsa dalam acara yang julung kali dipertandingkan pada Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Keyakinan itu dilaungkan pengurus pasukan negara, Donovan Lee yang mula membentuk skuad berkenaan dengan kerjasama Persatuan Hoki Dalam Air Malaysia (MUHA) sejak tiga tahun lalu.

"Semua pemain kini giat menjalani latihan di Petaling Jaya dan Bukit Jalil beberapa kali seminggu untuk memantapkan pasukan terutama keserasian antara mereka yang rata-ratanya muka baharu.

"Selain itu, kemenangan ke atas pasukan Hong Kong menerusi perlawanan persahabatan bulan lalu menjadi bekalan terakhir untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa di Filipina nanti," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, hari ini.

Cabaran negara digalas seramai 24 pemain lelaki dan wanita yang akan menyertai kategori enam dan empat berpasukan di Cavite bermula 2 Disember depan.

Donovan berkata, pihaknya turut lega dapat melunaskan kos penyertaan ke temasya dwitahunan itu dan nekad memberi saingan sengit kepada pasukan tuan rumah serta Singapura sebagai pencabar utama.

Dalam pada itu, jurulatih, Adrian Stuart berkata, skuad bimbingannya terlebih dulu akan memberi fokus utama kepada Sukan SEA sebelum memikirkan perancangan lain termasuk projek pembangunan sukan berkenaan.

Sukan yang bertapak di Britain sejak 1950-an itu turut dikenali sebagai 'Octopush' dan membabitkan perlawanan selama 30 minit antara dua pasukan di dasar kolam.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 9:57 PM