GUARDIOLA berdepan tugas berat memulihkan maruah City.
Reuters

MANCHESTER City berdepan masalah di bahagian pertahanan musim ini tetapi bekas kapten, Vincent Kompany berkata, mereka tidak perlu menandatangani pemain lain bagi mempertahankan gelaran Liga Perdana.

City tidak menggantikan pertahanan tengah, Kompany yang meninggalkan Stadium Etihad menuju Anderlecht pada Mei lalu ketika mereka turut kehilangan Aymeric Laporte yang berdepan kecederaan berpanjangan.

Pemain tengah, Fernandinho diberi tugas bergandingan dengan John Stones di bahagian pertahanan dalam beberapa aksi sebelum ini tetapi kurang berkesan ketika tewas 1-3 kepada Liverpool di Anfield.

"Saya tak fikir mereka perlu mendapatkan seorang lagi pertahanan baharu,” kata Kompany kepada Sky Sports.

"Cara terbaik untuk City bertahan seperti masa lalu ialah menyerang. Tiada sebab menukarnya.

"Sebaik sahaja mereka temui kembali prestasi terbaik, saya yakin kami akan kembali mendapat rentak kemenangan.”

Pendahulu, Liverpool menjarakkan kedudukan kepada sembilan mata di hadapan City yang menduduki tangga keempat tetapi Kompany berkata bekas kelabnya mampu mengubah nasib untuk menjuarai gelaran liga ketiga berturut-turut dibawah kendalian Pep Guardiola.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 10:44 PM