KAMARUDIN Meranun.
Meor Riduwan Meor Ahmad


"TUNGGU maklum balas Pesuruhjaya Sukan (PJS)." Demikian kata Naib Presiden Persatuan Hoki Kedah (KHA), Dr S Taitchana Muruthi mengenai surat bantahan dihantar kepada PJS berhubung kemelut pertukaran nama calon presiden di saat akhir yang menafikan Datuk Kamarudin Meranun bertanding jawatan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini.

Katanya, beliau menghantar surat itu yang turut dipanjangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana berasakan wujud salah laku yang melanggar peraturan serta protokol membabitkan proses pencalonan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MHC ke-66, namun tidak menuduh sesiapa.

"Tengok PJS kata apa? Jika apa berlaku itu dikatakan betul, kita terimalah. Saya hanya melakukan tugas saya sebagai orang terbabit dalam hoki dan tiada kepentingan dalam mana-mana pihak atau jawatan.

"Ini persatuan pertama saya masuk sepanjang 20 tahun aktif dalam hoki, sebab tidak suka politik. Saya masuk KHA untuk bantu kerana saya cintakan hoki. Bila rasa ada benda tidak betul berlaku dalam persatuan, saya hantar surat (untuk tindakan PJS)," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Katanya, beliau menyerahkan segala tindakan ditentukan pihak berkuasa termasuk PJS serta menunggu tindakan oleh presiden KHA, Mohd Asmirul Anuar Aris dalam kenyataan sebelum ini. "Kita dah buat aduan kalau PJS kata kes tutup (bantahan), tutuplah. Kita terima saja sebab tidak boleh menentang sistem. Kalau mereka kata nak buat siasatan, sesiapa yang bersangkut paut dengan siasatan itu mesti akan bekerjasama termasuk saya," katanya.

Menurutnya dia bukan calang-calang orang yang boleh diketuk kepala dan mempunyai kedudukan dalam persatuan.

"Saya juga tidak memihak sesiapa. Sebagai manusia kena ada prinsip dan kejujuran. Saya tetap mempertahankan kenyataan saya (surat bantahan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 11:37 PM