AARON dan Wooi Yik benam cabaran beregu Indonesia.
Azlan Muhammad Zain


AARON Chia-Soh Wooi Yik terus mempamerkan aksi konsisten apabila menempah tiket ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong, hari ini.

Berbekalkan pencapaian mara ke separuh akhir Terbuka China minggu lalu, mereka bermula dengan rentak kemenangan apabila menewaskan pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Angga Pratam 21-13, 21-14 di pusingan pertama.

Pasangan di ranking ke-12 dunia berkenaan hanya mengambil masa 22 minit bagi mengesahkan tiket ke pusingan kedua dan bakal bertemu lawan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaaruop.

Turut mara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin yang mempamerkan kebangkitan selepas tewas set pertama kepada gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Kim Jae Hwan 17-21.

Mereka bangkit memberikan saingan sengit untuk menang set kedua 25-23 bagi mengheret ke set penentuan dan menang dengan keputusan 21-16 dalam tempoh 57 minit.

Bagaimanapun pemenang perak Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong terkandas apabila dikejutkan pasangan Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov 21-12, 21-15 dalam tempoh 31 minit.

Dua beregu wanita, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean terkandas dalam aksi tiga set kepada lawan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:47 PM