GARETH Southgate. FOTO AFP
AFP

PENGENDALI England Gareth Southgate menangkis kritikan berhubung tindakannya menggugurkan Rahem Sterling susulan insiden pertelagahan dengan Joe Gomez, mendakwa beliau tidak menyelesaikan masalah dengan memikirkan bagaimana untuk memuaskan hati semua orang.

Pengurus berusia 49 tahun itu memutuskan untuk tidak menyenaraikan Sterling, penyerang Manchester City itu untuk aksi kelayakan Euro 2020 menentang Montenegro awal pagi esok selepas pemain itu bergaduh dengan pertahanan Liverpool, Gomez di pusat latihan England pada Selasa.

Sterling mengakui terbawa-bawa emosi 24 jam selepas Liverpool menewaskan City 3-1 untuk melebarkan penguasaan mereka di puncak Liga Perdana Inggeris ke atas juara bertahan itu kepada sembilan mata.

Southgate mendapat pujian kerana tindakan pantasnya, biarpun bekas pertahanan England Rio Ferdinand antara pengkritik yang berkata perkara itu sepatutnya tidak diketahui umum.

Southgate, yang pasukannya berpeluang menempah tiket ke Euro 2020 jika seri dalam aksi antarabangsa ke-1,000 berkata beliau mengambil keputusan itu demi kepentingan pasukan.

“Semua orang ada pandangan terhadap tindakan yang anda ambil dan hanya mereka yang berada dalam persekitaran itu tahu perkara berkenaan secara terperinci,” kata beliau.

“Jika anda hanya cuba untuk membuat keputusan yang membuat semua orang gembira, ia tidak akan menjadi.

“Pasukan sentiasa menjadi keutamaan saya.”

Southgate yang menganggap skuadnya sebagai sebuah keluarga berkata pasukan itu mampu menangani cabaran tanpa Sterling, biarpun dia mungkin diturunkan untuk aksi menentang Kosovo awal pagi Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 8:59 AM