IBRA meledak 52 gol dalam 53 perlawanan bersama LA Galaxy. FOTO Zimbio
Reuters

ZLATAN Ibrahimovic tidak akan kembali ke LA Galaxy untuk Major League Soccer (MLS) musim 2020, kata pasukan itu dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

Penyerang Sweden berusia 38 tahun itu meledak 52 gol dan membantu 17 jaringan dalam 53 perlawanan kesebelasan utama bersama Galaxy, pasukan yang disertainya pada Mac 2018 selepas meninggalkan Manchester United.

“Kami ingin berterima kasih kepada Zlatan atas sumbangannya terhadap LA Galaxy dan Major League Soccer,” kata Presiden LA Galaxy Chris Klein.

“Sejak ketibaannya pada 2018, Zlatan membawa pengaruh positif terhadap bola sepak di Los Angeles.

“Kami berterima kasih atas etika kerja dan semangatnya. Kami berterima kasih kepada Zlatan atas profesionalisma dan impak tidak terhingga terhadap komuniti Los Angeles dan bola sepak Amerika Utara secara keseluruhannya.”

Ibrahimovoc yang pernah beraksi bersama Barcelona, Juventus, Paris St Germain, Inter Milan dan AC Milan, berkata dia meninggalkan pasukan itu pada tahap terbaiknya.

“Saya datang, saya lihat, saya takluki,” katanya di Twitter.

“Terima kasih @lagalaxy kerana membuat saya hidup kembali. Kepada peminat Galaxy - anda mahukan Zlatan, saya berikan kamu Zlatan,” katanya.

“Anda dialu-alukan. Kisah bersambung... Kini kembali menonton besbol.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 9:46 AM