SEBAHAGIAN pemain Malaysia berlatih menjelang perlawanan menentang pasukan Thailand dan Indonesia dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 ketika sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya. FOTO AIZUDDIN SAAD
Meor Riduwan Meor Ahmad


SKUAD kebangsaan diminta memperagakan permainan lebih garang dan agresif bagi memastikan tiga mata dalam genggaman menjelang aksi keempat Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Haji Mohd Amin melontarkan harapan itu ketika meluangkan masa bersarapan dengan pemain Harimau Malaya hari ini.

Memahami perlawanan malam ini cukup penting dalam menentukan hala tuju skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe ke pusingan seterusnya serta layak ke Piala Asia 2023, beliau mahu mereka memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri.

"Sudah tentu sebelum ini saya begitu kecewa dengan kekalahan 1-0 kepada Vietnam pada perlawanan ketiga di Hanoi, 10 Oktober lalu kerana permainan kita ketika itu bukan pada tahap sebenar seperti ditampilkan menentang Indonesia dan UAE sebelum itu.

"Jadi untuk perlawanan menentang Thailand malam ini, saya mahu pemain bangkit semula daripada kekalahan kepada Vietnam itu.

"Apa yang ditampilkan ketika kita menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan, Sabtu lalu harus dipertingkatkan lagi dengan menampilkan kekuatan sebenar bertemu Thailand ini.

"Kita mahukan kemenangan malam ini. Jadi pemain perlu tampil dengan lebih garang, agresif dan tunjukkan taring dan semangat harimau sebenar, lebih-lebih lagi beraksi dengan dibantu sokongan padu puluhan ribu penyokong sendiri," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi FAM.

Hamidin juga mahu semua pemain negara membuktikan mereka bagus dan memiliki kualiti untuk menewaskan skuad Gajah Perang.

"Saya juga menyeru penyokong Harimau Malaya supaya turun beramai-ramai ke Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini bagi memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada pemain," katanya.

Turut serta bersama pemain kebangsaan adalah Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi merangkap pengurus pasukan serta penolongnya, Datuk Posa Majais.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 12:20 PM