ARSENE Wenger dinamakan sebagai ketua pembangunan bola sepak global FIFA. FOTO REUTERS
AFP

BEKAS pengurus Arsenal Arsene Wenger kembali ke kancah bola sepak awal pagi tadi selepas dinamakan sebagai ketua pembangunan bola sepak global FIFA, menamatkan spekulasi untuk berpindah ke Bayern Munich yang bergerak tanpa pengurus.

FIFA berkata bekas pengendali Arsenal dan Monaco itu bertanggungjawab untuk pembangunan sukan itu ‘untuk kedua-dua lelaki dan wanita di seluruh dunia’ dan juga akan ‘mengetuai hal teknikal’ termasuk kemungkinan perubahan dalam undang-undang sukan.

Dikatakan juga Wenger, 70, juga akan ditugaskan dengan pendidikan jurulatih dan membantu program yang direka untuk membantu bekas pemain beralih ke bidang pengurusan.

“Saya tidak sabar untuk menggalas cabaran yang amat penting itu,” kata Wenger dalam satu kenyataan.

“Bukan saja saya berminat menganalisa bola sepak daripada perspektif yang luas tetapi juga kerana misi FIFA sebagai badan induk bola sepak dunia sesuatu yang bersifat global.”

Khabar angin Wenger akan kembali ke bidang kejurulatihan meningkat pada hujung minggu selepas Wenger menafikan dakwaan Bayern Munich bahawa mereka menolak tawaran untuk mengambil alih juara Jerman itu selepas pemecatan Nico Kovac.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 12:23 PM