Eain Yow mahu bangkit di Amerika Syarikat. FOTO NSTP
Iskandar Shah Mohamed


JAGUH skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow berazam bangkit menebus kekecewaan dan fokus pada Kejohanan Channel VAS di Amerika Syarikat, minggu depan. 

Pada pusingan pertama Kejohanan Dunia di Doha, Qatar minggu lalu, bekas juara remaja dunia 2016 itu kecundang kepada ranking lebih tinggi, Fares Dessouky dari Mesir 6-11, 11-9, 8-11, 5-11.

Biarpun kecewa dengan kekalahan awal kejohanan berprestij itu, Eain Yow berpuas hati dengan prestasinya yang menunjukkan peningkatan selepas menjuarai Terbuka Malaysia, September lalu.

"Berdasarkan beberapa kejohanan disertai sebelum ini, saya berasa keyakinan diri semakin positif kerana memberi tentangan sengit kepada pemain terbaik dunia termasuk Dessouky yang berada di ranking 13-dunia.

"Ia memberi peluang kepada saya untuk terus memperbaiki prestasi dan kini mahu fokus sepenuhnya untuk Channel VAS bermula Selasa depan," katanya kepada Arena Metro.

Pada aksi pembuka tirai di St George's Hill, London, pemain ranking ke-32 dunia itu dijadualkan menentang pemain Qatar, Abdulla Mohd Al Tamimi.

"Channel VAS antara kejohanan penting dan saya akan berusaha memberi cabaran sekali gus memperbaiki ranking sedia ada," kata pemain berusia 21 tahun itu.

Kejohanan yang berlangsung sehingga 24 November itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$106,000 (RM440,774).

Untuk rekod, Eain Yow meraih kejuaraan terbesarnya pada Terbuka Malaysia dan turut beraksi cemerlang sehingga ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain ranking lebih tinggi pada Terbuka Mesir, bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 4:25 PM