Penyokong hadir ke stadium menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syazwan Msar


AKSI Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Thailand berlangsung pada hari bekerja tidak menjadi masalah buat penyokong Harimau Malaya hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur apabila jualan tiket dalam talian merekodkan sebanyak 26,031 setakat jam 3 petang tadi, hari ini.

Jumlah berkenaan tidak termasuk jualan tiket di kaunter stadium yang dibuka 3 petang hari ini untuk penyokong Malaysia membuat pembelian selain secara atas talian.

Menerusi tinjauan Arena Metro mendapati orang ramai sudah menunggu jam 10 pagi untuk membeli tiket walaupun dimaklumkan tiket hanya mula dijual lima jam kemudian.

Setakat ini, orang ramai masih lagi boleh membuat pembelian tiket di kaunter dan ia akan ditutup sebaik semua tiket habis terjual.

Malaysia akan beraksi untuk perlawanan keempat kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand hari ini sebelum menentang Indonesia pada Selasa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 4:46 PM