Manshahar anggap kejohanan Innotex sebagai pemanas badan terakhir sebelum ke Sukan SEA. FOTO NSTP
Iskandar Shah Mohamed


KEJOHANAN Olahraga Terbuka Innotex di Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjadi medan pemanas badan terakhir untuk 26 atlet kebangsaan sebelum menyertai Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Ia dianggap peluang kepada atlet olahraga menguji keupayaan dan memperbaiki kelemahan masing-masing sebelum bersaing merebut pingat di temasya dwitahunan berkenaan.

Kejohanan edisi ketiga pada Sabtu dan Ahad ini akan mempertandingkan hampir keseluruhan acara utama termasuk lari pecut 100 meter (m) lelaki dan wanita.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil mengharapkan semua atlet dapat mengekalkan prestasi sekali gus memperbaiki kelemahan yang ada.

"Selain pemanas badan, kejohanan Innotex lebih kepada 'check and balance' (semak dan imbang) bagi atlet bertanding untuk mengenal pasti keupayaan masing-masing.

"Apa yang penting adalah mereka dapat kekal beraksi dengan cemerlang untuk meraih pingat buat kontinjen negara di Clark nanti," katanya kepada Arena Metro.

Antara yang disenaraikan menyertai kejohanan itu adalah jagut pecut negara, Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy bagi acara 100m selain Zaidatul Husniah Zulkifli (100m), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Andre Anura Anuar (lompat jauh).

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini kekal optimis menyasarkan sekurang-kurangnya lima pingat emas buat kontinjen negara di Filipina.

Untuk rekod, pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kem olahraga memperbaiki pencapaian apabila berada di tempat ketiga di belakang Vietnam dan Thailand dengan mengumpul lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 4:59 PM