NOKMAN akui KLFA belum terima baki geran.
Meor Riduwan Meor Ahmad

MUNGKINKAH janji tinggal janji apabila memasuki pertengahan November, baki geran tahunan kepada pasukan Liga Malaysia masih belum dibayar.

Malah pengurusan beberapa pasukan ketika dihubungi memaklumkan belum menerima baki bayaran geran tahunan dijanjikan bernilai RM1.5 juta untuk pasukan Liga Super dan RM500,000 bagi pasukan Liga Perdana.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, pihaknya masih menunggu bayaran berkenaan dan setakat ini belum menerima sebarang maklumat berkaitan.

"KLFA tiada masalah sangat kerana kewangan kita agak 'OK'. Tapi jika ada (baki geran) lagi bagus kerana menambah lagi kewangan dan memberi keselesaan kita merancang pembangunan untuk pemain muda berusia 14 ke atas.

"Jika boleh bagilah dan Alhamdulillah jika ada. Lagi cepat (bayar) lagi bagus kerana jika ada duit macam-macam pembangunan yang dirancang," katanya dihubungi Arena Metro. Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar pula berkata, pihaknya kerap menghubungi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan tidak berputus asa menunggu bayaran dijanjikan.

"Mereka (MFL) kena bayar, jika tidak masalah untuk kita (PAFA). Kami amat memerlukan baki geran dan kerap menghubungi mereka walaupun berusaha menguruskan kewangan dengan baik.

"Setakat ini mereka maklum perkara itu, namun kita tidak tahu bagaimana prosedur pembayaran itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin turut mengesahkan belum menerima baki geran itu.

Difahamkan akibat kesukaran mendapatkan penajaan, badan pentadbir Liga Malaysia itu berdepan masalah kewangan dan belum melunaskan keseluruhan geran tahunan bernilai RM3 juta kepada pasukan Liga Super dan RM1 juta kepada pasukan Liga Perdana pada awal musim.

MFL membayar secara berperingkat bermula Julai lalu bagi fasa pertama manakala penyelesaian baki 50 peratus dijanjikan selewat-lewatnya bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 9:08 PM