GIROUD (kanan) menyepak masuk sepakan penalti pada minit ke-79 di Stade de France. — FOTO AFP
AFP

OLIVIER Giroud menyempurnakan penalti lewat aksi ketika Perancis mengalahkan pasukan ranking ke-175 dunia, Moldova 2-1 awal pagi tadi beberapa jam selepas memastikan tempat ke Euro 2020.

Juara dunia Perancis, yang tewas final Euro 2016 sebagai tuan rumah di tangan Portugal, mengesahkan tiket ke pusingan akhir tahun depan sebelum sepak mula di Paris susulan keputusan seri 0-0 antara Turki dan Iceland.

Bagaimanapun impian mereka meraikan kejayaan pada aksi terakhir di laman sendiri di Stade de France agak terjejas seketika apabila Vadim Rata menghukum kealpaan benteng pertahanan untuk meletakkan Moldova di depan selepas sembilan minit.

Raphael Varane menyamakan kedudukan buat Perancis 10 minit sebelum rehat, mencetus bantahan keras pemain dan jurulatih Moldova yang mendakwa penjaga gol mereka Alexei Koselev dikasari Giroud.


VARANE (dua kanan) menanduk masuk gol penyamaan Perancis. — FOTO Reuters

Penyerang Chelsea itu meraih gol kemenangan menerusi tendangan penalti 11 minit sebelum tamat selepas Lucas Digne dijatuhkan dalam kotak penalti sekali gus menyaksikan Perancis dua mata di depan Turki di puncak Kumpulan H.

“Saya patut menjaringkan gol sebelum penalti itu. Kami tidak dapat memperagakan persembahan sebenar,” kata Giroud kepada televisyen Perancis.

Giroud diturunkan dalam kesebelasn utama oleh jurulatih Perancis, Didier Deschamps sekalipun hanya beraksi 20 minit di peringkat kelab sejak tugasan antarabangsa sebelum ini.

“Sama ada dia diperlukan atau tidak, dia amat berguna dan berkesan,” kata Deschamps. “Walaupun dia tidak mendapat peluang di Chelsea, dia masih mampu menyumbang buat kami.”

Perancis melengkapkan kempen kelayakan dengan kunjungan ke Albania Ahad ini bagi perlawanan ke-100 kendalian Deschamps manakala Turki bertandang ke Andorra.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 8:25 AM