Akram Afif membantu pasukan Qatar juara Piala Asia AFC. FOTO Agensi
Reuters

PENYERANG Qatar, Akram Afif dinamakan dalam senarai pendek antara tiga pemain untuk Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas membantu negaranya memenangi kejuaraan Piala Asia tahun ini, menurut kenyataan badan induk bola sepak Asia itu hari ini.

Pemain kelab Villarreal berusia 22 tahun dipinjamkan di Al Sadd dan menjadi nadi penting ketika membantu kelab Qatar itu melangkah ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara AFC musim ini.

Penjaga gawang Iran, Alireza Beiranvand dan pertahanan Jepun, Tomoaki Makino antara calon lain turut disenarai dalam kategori lelaki untuk anugerah tahunan yang dijadual diserahkan di Hong Kong pada 2 Disember ini.

“Afif sememangnya pemain berpotensi besar di Asia dan dia cukup menyerlah ketika di Piala Asia AFC 2019 di UAE apabila dia membantu menghasilkan jaringan sebanyak 10 kali - antara sejarah dalam kejohanan,” menurut kenyataan AFC.

Makino membantu Jepun mara ke final kelima Piala Asia tahun ini sementara aksinya di Urawa Red Diamonds menyaksikan kelab Jepun itu bakal mencatat rekod keenam berturut-turut memburu gelaran Liga Juara-Juara AFC pada final berdepan wakil Arab Saudi, Al Hilal.

Penyerang China, Li Ying, penjaring terbanyak Piala Asia Wanita AFC tahun lalu, pemain India, Ashalata Devi Loitongbam dan kapten Jepun, Saki Kumagai antara calon bagi kategori wanita.

Senarai pendek bagi Anugerah Jurulatih Terbaik Tahunan menampilkan jurulatih Urawa, Tsuyoshi Otsuki, Boss Kashima Antlers, Go Oiwa serta jurulatih Bawah 20 tahun Korea Selatan Chung Jung-yong.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 5:50 PM