Mane disenangi kerana ringan tulang biarpun bergelar superstar. FOTO REUTERS
Esme Jo

BUAT peminat bola sepak, mereka pasti tidak mengambil masa yang lama untuk mengagumi penyerang Liverpool dari Senegal, Sadio Mane.

Bukan saja hebat menggelecek bola dan menjaringkan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) malah dia dianggap pemurah dan suka membantu.

Realiti itu dilihat apabila peminat Liverpool, Saddick Adams menulis di media sosial mengenai sikap ‘ringan tulang’ Mane membantu kakitangan pasukan membawa barangan untuk kegunaan pasukan masuk ke bilik persalinan stadium.

Tindakannya itu mendapat pujian dengan kata-kata: ”Sadio Mane membantu mengangkut barangan bas pasukan.

“Lelaki ini sememangnya tidak berpura-pura melakukannya”.

Mane dianggap seorang lelaki yang baik hati.

Adakah masih ingat rakaman video tular dia membantu membersihkan surau di Liverpool? Apabila menyedari tindakannya dirakam, dia berasa malu.

Kali ini video ini memaparkan pemain sayap superstar itu prihatin dengan skuadnya ketika menggalas tugas antarabangsa bersama Senegal.

Pasukannya sedang membuat persiapan untuk berdepan Eswatini, Ahad ini selepas membantu negaranya menewaskan Congo 2-0 pada saingan kelayakan peringkat kumpulan Piala Negara Afrika, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 6:21 PM