Mohamad Norza ketika sidang media di Akademi Badminton Malaysia. FOTO Eizairi Shamsudin
Ferzalfie Fauzi


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran dua emas di Sukan SEA Filipina 2019 sebelum ini namun disebabkan ketiadaan perseorangan wanita, Goh Jin Wei mereka mengubahnya kepada satu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengakui terpaksa membuat perubahan sasaran berkenaan tatkala Jin Wei tidak disenaraikan akibat masalah kesihatan.

"Kita sudah melihat kembali sasaran dan mengubahnya kepada satu apabila Jin Wei tidak dapat menyertai temasya ini," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM hari ini.

Bagaimanapun, Norza berasa sedikit lega dengan peningkatan yang dipamerkan beregu lelaki dan campuran sejak kebelakangan ini.

"Kita lihat hari ini Goh Soon Huat-Shevon Lai buat kali kedua mengalahkan pasangan Thailand. Ini menampakkan petanda yang memberangsangkan.

"Kami sebenarnya tidak mahu meletakkan tekanan kepada pemain beregu lelaki, campuran dan Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) kerana mereka masih muda. Mereka akan mempertingkatkan aksi apabila tiba masanya.

"Apa yang penting mereka harus mempersiapkan diri sebaik mungkin, termasuk dari segi fizikal dan mental seterusnya membolehkan mereka melakar kejutan di Sukan SEA nanti," kata Norza.

Goh Jin Wei terpaksa menarik diri selepas menjalani pembedahan usus. FOTO NSTP

Ditanya adakah kontinjen negara menerima dengan sasaran satu emas itu, beliau yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), mengakui perkara itu sudah dibincangkan di bengkel penetapan sasaran sebelum ini.

"Ini adalah keputusan muktamad. Mereka menerima dengan cadangan kita untuk BAM hanya menetapkan satu sasaran emas di Filipina," katanya.

Jin Wei yang meraih emas acara perseorangan wanita di Sukan SEA 2017, terpaksa menarik diri dari menyertai kejohanan berkenaan selepas baru saja menjalani pembedahan usus.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 8:33 PM