Pemain Jerman meraikan kejayaan menjaringkan gol ke atas Belarus. FOTO Reuters
Reuters

PEMAIN pertahanan Matthias Ginter menjaringkan satu gol dan terbabit dalam menghasilkan dua lagi gol ketika Jerman mencatat kemenangan selesa 4-0 ke atas Belarus pagi ini, sekali gus memastikan tempat ke pusingan akhir kelayakan Euro 2020 untuk rekod ke-13 kali berturut-turut.

Ginter memberi inspirasi memulakan jaringan pada minit ke-41 dengan sepakan bijak menggunakan tumit belakang, melakukan helah untuk membenarkan Leon Goreztka menjaringkan gol kedua dan mengumpan kepada Toni Kroos untuk gol ketiga.

Penjaga gol Jerman, Manuel Neuer menyelamatkan penalti daripada Igor Stasevich pada minit ke-75 dan Kroos menambah gol keempat untuk memastikan malam gemilang bersama skuad kebangsaan sejak kemenangan 7-1 ke atas Brazil pada separuh akhir Piala Dunia 2014.

Pendahulu Kumpulan C Jerman dibantu oleh pesaing terdekat Belanda yang seri 0-0 menentang Ireland Utara untuk memastikan skuad Belanda dan Jerman layak dengan baki satu perlawanan peringkat kumpulan.

Jerman mempunyai 18 mata - daripada enam seri dan satu kekalahan - sementara Belanda memungut 16 mata dan Ireland Utara 14.

Belarus mempunyai empat mata namun masih boleh layak ketika mereka mara ke play off Liga Negara-Negara untuk memberi empat lagi tempat di kejohanan itu.

“Saya berpuas hati, ada beberapa gerakan saling bertukar hantaran yang sangat bagus,” kata jurulatih Joachim Loew yang mengambil alih pada 2006 dan akan meneruskan tugas buat kali ketujuh dalam kejohanan utama.

“Kami melakukan tugas dengan baik. Dalam semua aspek, saya sangat berpuas hati. Kroos sangat penting kepada pasukan, dia sentiasa bersedia untuk beraksi, sentiasa dengan tenang - kehadirannya buat pasukan muda memberi kesan. Dia melakukannya dengan sangat baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 7:40 AM