Pemain Croatia, Luka Modric bersama rakan sepasukan meraikan kejayaan layak ke pusingan akhir Euro 2020. FOTO Reuters
Reuters

CROATIA layak ke Euro 2020 selepas jaringan pada separuh masa kedua daripada Nikola Vlasic, Bruno Petkovic dan Ivan Perisic mencetus inspirasi kebangkitan kemenangan 3-1 di gelanggang sendiri ke atas Slovakia dalam saingan menarik kelayakan bagi Kumpulan E awal pagi ini.

Keputusan itu membolehkan Croatia memungut 17 mata daripada lapan perlawanan ketika menyelesaikan kempen mereka, dengan tiga lagi persaingan mereka masih berjuang untuk tempat ke kejohanan membabitkan 24 negara tahun depan.

Di tempat kedua Hungary (12 mata) berkunjung pasukan di tempat ketiga Wales (11 mata) pada awal pagi Rabu dalam persaingan sengit untuk penamat dua tempat teratas dengan kemenangan dapat memastikan salah satu pasukan layak.

Keputusan seri bagaimanapun mungkin membolehkan pasukan di tempat ke empat Slovakia (10 mata), yang akan melayan kunjungan pasukan tercorot kumpulan, Azerbaijan dalam perlawanan terakhir untuk layak ketika mereka mempunyai rekod pertembungan lebih baik berbanding Hungary.

Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic yang membawa mereka penamat di tempat kedua pada Piala Dunia 2018 sangat gembira.

“Saya sangat bangga dan saya mengucapkan tahniah kepada pemain untuk kemenangan dalam kumpulan dan layak,” katanya.

“Saya tidak bimbang apabila kami ketinggalan kerana kami bermain baik dan ia lebih mudah apabila kami menyamakan kedudukan.

“Semua pujian juga kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan dan saya berharap kami akan memberi lebih kegembiraan buat Croatia dalam Kejohanan Eropah.

Petkovic menambah : “Kami tidak mudah menyerah kalah dan berjaya mengubahnya kerana terus memberi tekanan. Pasukan muda ini mempunyai keserasian yang sangat bagus.”

Croatia melepaskan deretan peluang pada babak pertama dan dihukum pada minit ke 32 apabila Robert Bozenik menolak mudah hantaran Stanislav Lobotka dari sudut kiri.

Bozenik hampir mengandakan kedudukan untuk Slovakia mendahului ketika penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic berjaya merampas bola untuk menafikan cuba penyerang berusia 19 tahun melayangkan badan secara ganas dari dalam kawasan kotak penalti.

Vlasic menyamakan kedudukan pada minit ke-56 menerusi sepakan rendah dari jarak 20 meter dan Petkovic memastikan Craotia di depan empat minit kemudian selepas dia menanduk masuk gol yang sukar dinafikan di sudut penjuru selepas menerima hantaran tepat daripada Luka Modric.

Pemain sayap Slovakia, Robert Mak diperintah keluar padang pada minit ke 66 selepas menerima kad kuning kedua kerana melakukan kekasaran sebelum Perisic menambah gol ketiga buat tuan rumah, dengan melakukan sepakan voli selepas menerima hantaran Borna Barisic sehingga mencetus kegembiraan di kalangan penonton yang hadir di Stadium Rujevica.

Penjaga gawang Slovakia, Martin Dubravka turut menyelamatkan Slovakia daripada menerima kekalahan lebih besar dengan menafikan beberapa percubaan tepat di hujung babak permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 8:37 AM